Kes rasuah Guan Eng: ‘Coklat’ sebenarnya untuk ‘big boss’ – Gobind

Kes rasuah Guan Eng: ‘Coklat’ sebenarnya untuk ‘big boss’ – Gobind

PEGUAM bela Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo mendakwa wang RM2 juta dengan kod nama ‘coklat’ disediakan untuk ‘big boss’ yang merujuk kepada Perdana Menteri ketika itu menggunakan orang tengah pada 2017, dan bukan bertujuan diberi kepada anak guamnya.

Gobind berkata, ia berdasarkan perbualan WhatsApp pada 17 Ogos 2017 antara Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan ahli perniagaan, G Gnanaraja, yang dikatakan menjadi orang tengah membuat pembayaran berkenaan, lapor Berita Harian.

Peguam itu menyoal balas Pegawai Penyiasat Jabatan Forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof, dengan merujuk perbualan WhatsApp terkandung dalam laporan forensik pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Guan Eng.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berdepan empat pertuduhan rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Wan Mohd Firdaus bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa dalam perbualan itu ada dinyatakan ‘coklat’ adalah untuk ‘big boss’.

Bagaimanapun, apabila dicadang sama ada boleh menyatakan yang ia merujuk kepada Perdana Menteri ketika itu, saksi terbabit menjawab: “Tidak”.

Gobind seterusnya merujuk saksi kepada perbualan WhatsApp pada 23 Julai 2017 yang berkisar mengenai sambutan hari jadi seseorang dikenali sebagai ‘big boss’ dan berkaitan sebuah kediaman di Taman Duta yang mana saksi bersetuju perkara itu ada dalam perbualan berkenaan.

Gobind menyatakan ia adalah jelas ‘big boss’ tidak merujuk kepada anak guamnya, kerana Guan Eng bukan tinggal di Taman Duta dan tidak dilahirkan pada 23 Julai.

Bagaimanapun, ketika diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Wan Mohd Firdaus berkata, perbualan WhatsApp itu tidak pernah menyatakan wang tidak dibayar kepada Guan Eng.

Ditanya sama ada laporan forensik mengandungi perbualan WhatsApp itu menyatakan wang dibayar kepada orang lain selain Guan Eng, saksi itu menjawab: “Tidak”.

Wan Shaharuddin: Adakah dalam laporan perbualan itu langsung tidak menyebut perkataan CM (ketua menteri) Lim Guan Eng?

Wan Mohd Firdaus: Perbualan oleh Gnanaraja bertarikh 17 Ogos 2017 pada 6.14 petang menyatakan ‘Penang CM’, manakala daripada Datuk Zarul (jam) 5.15 petang menyatakan ‘stay in Penang Sir, CM postponed my meeting with him, 7 petang’.

Wan Shaharuddin: Ada atau tidak laporan menyatakan ia dibayar kepada orang lain?

Gobind: Ini tidak betul, ada disebut di situ ‘big boss’. ‘Big boss’ adalah PM.

Hakim Azura Alwi: Itu adalah pembelaan kamu.

Wan Shaharuddin: Ada atau tidak wang RM2 juta tidak dibayar kepada Guan Eng?

Wan Ahmad Firdaus: Tidak.

Sementara itu, dalam hujahan bagi permohonan penzahiran dokumen laporan forensik itu, Gobind berkata, bukti yang diterima pembelaan ialah Gnanaraja menerima wang RM2 juta daripada Zarul dan pendakwaan bergantung kepada perbualan WhatsApp berkenaan.

“Mengapa dokumen ini tidak diberi kepada kami, siapa big boss?”, katanya.

Azura kemudian mengarahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan bagi dibekalkan dokumen laporan forensik itu yang ditetapkan bagi pendengaran pada 15 Februari ini.

Guan Eng, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. – Malaysiapost

Komen