KKR akan perinci inisiatif tol percuma Tahun Baru Cina – Nanta Linggi

KKR akan perinci inisiatif tol percuma Tahun Baru Cina – Nanta Linggi

PENGECUALIAN bayaran tol percuma selama dua hari sempena sambutan Tahun Baru Cina adalah selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan membantu meringankan beban rakyat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tol percuma yang ditawarkan selama dua hari dari 20 hingga 21 Januari itu, dicapai hasil perbincangan di antara kementerian dan syarikat konsesi terlibat.

“Inisiatif ini dapat dicapai hasil perbincangan di antara kementerian dan syarikat konsesi terlibat. Ini selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Nanta Linggi berkata, tumpuan Mesyuarat Pasca Kabinet kementeriannya hari ini juga tertumpu kepada inisiatif berkenaan.

“Usai sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya sebentar tadi, saya bergegas ke kementerian bagi mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet.

“Antara tumpuan utama perkongsian di dalam mesyuarat ini tentulah berkenaan pengumuman tol percuma kepada pengguna lebuh raya bersempena cuti Tahun Baru Cina yang bakal tiba. Perincian inisiatif ini akan saya kongsikan,” tulisnya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan pengecualian bayaran tol akan diberikan kepada pengguna lebuh raya seluruh negara membabitkan semua kelas kenderaan pada 20 dan 21 Januari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Anwar berkata, pengecualian bayaran tol selama dua hari itu akan membabitkan peruntukan RM40 juta.

Masyarakat Cina di negara ini akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada 22 dan 23 Januari ini. – Malaysiapost

Komen