KPM tambah baik proses bayaran BAP

KPM tambah baik proses bayaran BAP

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menambah baik proses pembayaran wang bantuan awal persekolahan (BAP) termasuk memasukkan terus ke dalam akaun bank supaya lebih selamat dan menjimatkan masa.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sudah mengambil maklum semua cadangan yang dikemukakan berhubung proses pembayaran BAP itu sebanyak RM150 bagi setiap murid.

“Kita ambil maklum semua cadangan cuma proses pembayaran BAP itu ada prosedur operasi standard (SOP) dan bahagian kewangan telah tentukan bagaimana proses itu berlaku.

“Setakat ini kita kekalkan dulu dengan proses yang sedia ada tetapi akan ditambah baik dari semasa ke semasa…termasuk cadangan pembayaran terus ke akaun mereka (murid atau ibu bapa) pada tahun akan datang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina di Perkampungan Jawi, malam tadi.

Fadhlina mengulas cadangan daripada bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang mahu pembayaraan BAP dimasukkan terus ke akaun bank murid supaya lebih selamat dan menjimatkan masa.

Radzi dilaporkan berkata, cadangan itu juga bagi memastikan kes samun membabitkan wang berkenaan tidak berulang lagi pada masa depan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, ketika ini pihaknya masih perlu melakukan proses pemberian wang bantuan awal persekolahan itu secara bersemuka selepas mengambil kira terdapat ibu bapa yang tiada akaun bank.

“Ada ibu bapa yang tiada akaun bank sebab itu kita masih guna cara konvensional ini tapi kita ambil maklum cadangan yang dikemukakan untuk tambah baik perkara itu demi kepentingan semua,” katanya.

Isu kaedah pembayaran BAP timbul apabila wang yang sepatutnya diserahkan kepada murid di sebuah sekolah di Beranang berjumlah RM109,000 disamun selepas tingkap kenderaan guru besar terbabit dipecahkan dalam kejadian 10 pagi Isnin lalu. – Malaysiapost

Komen