Pelantikan ini tanggungjawab besar – Zahid

Pelantikan ini tanggungjawab besar – Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri berharap pelantikan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pesuruhjaya Kanak-Kanak dapat menjadikan ia sebagai badan penyelia mengenai perkara berkaitan kanak-kanak.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, banyak isu melibatkan kanak-kanak ketika ini berkaitan pendidikan, hak dan jenayah.

“Permasalahan anak-anak yang berbapakan warga asing atau beribukan warga asing akan turut ditangani oleh jawatankuasa ini dengan pelaksanaan dalam kadar segera oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Ini juga satu lagi usaha di bawah Kerajaan Perpaduan yang prihatin untuk memberi pelindungan kepada kanak-kanak yang tidak sah taraf,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kabinet yang bermesyuarat hari ini memutuskan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak untuk menganggotai SUHAKAM.

Ia cabang khas yang ‘autonomous’ di bawah SUHAKAM bagi meneliti dan mendepani banyak masalah melibatkan penderaan dan masalah-masalah sosial yang lain melibatkan kanak-kanak.

“Dalam hal ini, saya telah dilantik oleh YAB Perdana Menteri untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut.

“Saya melihat perlantikan ini sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang besar memandangkan isu penderaan kanak-kanak belum dapat dituntaskan.

“Malah, terdapat beberapa isu lain berkaitan kanak-kanak masih lagi berlegar dan belum mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, yang telah mencadangkan agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Kanak-kanak memerlukan perlindungan dan perhatian kita.

“Sehubungan itu, saya akan memperhalusi terlebih dahulu mengenai penubuhan jawatakuasa ini secepat mungkin kerana ia turut melibatkan isu-isu yang terkait dengan kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

Komen