PM umum tol percuma sempena Tahun Baharu Cina

PM umum tol percuma sempena Tahun Baharu Cina

Perdana Menteri hari ini mengumumkan tol percuma kepada semua kelas kenderaan sempena Tahun Baharu Cina.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tol percuma itu boleh dinikmati pengguna lebuh raya di seluruh negara pada 20 dan 21 Januari ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini panjang sedikit. Pertama berita baik (untuk Tahun Baharu Cina). Untuk itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Anthony Loke) sudah mengambil inisiatif berbincang dengan syarikat konsesi dan setuju supaya ditiadakan tol bagi 20 dan 21 Januari ini.

“Ia untuk memudahkan kerana ramai rakyat yang akan pulang ke kampung bukan saja (masyarakat) Cina tetapi juga Melayu, India dan yang lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya hari ini.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar menjaga keselamatan di jalan raya dan mematuhi peraturan supaya jumlah kemalangan tidak meningkat setiap kali musim perayaan. – Malaysiapost

Komen