Prestasi Umno merundum setiap PRU kerana Presidennya menyeleweng – Tun M

Prestasi Umno merundum setiap PRU kerana Presidennya menyeleweng – Tun M

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa prestasi Umno semakin merundum terutama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah kerana Presidennya tidak berpegang kepada asas perjuangan Umno.

Beliau yang pernah menerajui Umno sebagai Presiden, berkata pucuk pimpinan Umno terkini tidak lagi pegang kepada asas perjuangan parti iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

Menurutnya, Umno adalah parti Melayu yang mengalahkan Malayan Union dan memerdekakan Malaya serta membangunkan negara sehingga digelar Harimau Asia.

“Umno menang pilihan raya dan dapat mendirikan Kerajaan dengan lebih dari dua pertiga kerusi di dewan rakyat. Umno biasa menang sehingga 109 kerusi dalam dewan.

“Tetapi hari ini, dalam PRU-15, Umno menang hanya 26 kerusi. Jumlah kerusi menurun dari 109 kepada 79, naik sedikit kepada 88, tetapi pada PRU-14 turun kepada 54.

“Pada PRU-15 Umno cuma dapat 26, kurang separuh berbanding PRU-14,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Mahathir berkata, Umno yang dilepaskannya untuk diterajui oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, dijadikan sebagai parti ‘keluarga’ dengan ‘budak tingkat empat’ menggunakannya sebagai alat untuk kepentingan diri.

“Walaupun pada PRU-11 Umno menang besar, tetapi apabila Abdullah utamakan keluarga, Barisan Nasional (BN) kalah lima negeri. Umno hanya menang 79 kerusi – 30 kurang dari 2004.

“Pemimpin Umno bertukar. Sebelum skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Umno pulih sedikit dengan kemenangan 88 kerusi dalam PRU-13.

“Tetapi apabila Datuk Seri Najib Razak (Presiden Umno ketika itu) tubuh 1MDB dan seleweng duit serta salah guna kuasa, menjadikan wang sebagai ‘raja’ pun tidak berjaya menarik sokongan orang Melayu. Umno hanya dapat 54 kerusi,” katanya.

Beliau berkata, Umno kemudian diambil alih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut berdepan tuduhan rasuah di mahkamah dan sedang dibicara.

“Walaupun Umno menang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor tetapi dalam PRU-15, Umno cuma dapat 26 kerusi.

“Perjuangan Zahid tertumpu kepada kemungkinan dia didapati bersalah. Walaupun sebelum PRU Umno menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dan DAP, tetapi untuk menyelamat diri, Zahid sanggup bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar menerima Umno dan BN serta memberi Ahmad Zahid jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Kita akan lihat sama ada Anwar akan selamatkan Zahid dari dibicara atau tidak. Apakah reformasi Anwar termasuk “The Rule of Law”.

“Zahid takut kalau dia tidak jadi Timbalan Perdana Menteri dia akan didapati bersalah. Sebab itu ia tidak benar pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno,” katanya.

Dr Mahathir tindakan itu bagi membolehkan Umno terus dikuasai Ahmad Zahid dan besar kemungkinan dalam PRU akan datang kerusi Umno merosot lagi.

“Penurunan prestasi Umno disebabkan Presiden-Presiden yang menyeleweng. Perlembagaan Umno memperuntukkan ahli menukar pemimpin.

“Tetapi ahli Umno ternampak bersedia mengekalkan pemimpin yang sedang dituduh di mahkamah,” katanya. – Malaysiapost

Komen