Ramasamy persoal matlamat sebenar tubuh RCI buku Tommy

Ramasamy persoal matlamat sebenar tubuh RCI buku Tommy

TIMBALAN Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy mempersoalkan matlamat sebenar penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, RCI bukan untuk menyalahkan, menghukum atau memenjarakan Tommy.

“Azalina bersetuju bahawa skop tugasan pasukan petugas sebelum ini adalah terlalu menumpukan kepada Tommy sehingga mengabaikan isu perundangan dan perlembagaan yang lebih luas.

“Beliau menambah bahawa siasatan di bawah RCI bukan bertujuan untuk membalas dendam terhadap Tommy tetapi untuk meneliti perkara perundangan dan perlembagaan dalam perspektif yang lebih luas berkaitan dengan pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.

“Sekiranya RCI tidak bertujuan untuk menyiasat dakwaan yang terkandung dalam memoir Tommy, maka apakah matlamat sebenar RCI itu?”soalnya.

Ramasamy turut mempersoalkan, mengapakah ada keperluan untuk RCI membuat siasatan ke atas buku Tommy melainkan kandungannya tidak menyenangkan.

Jelasnya lagi, Azalina mungkin berniat baik tetapi menggunakan memoir Tommy sebagai ‘pad pelancaran’ membuka ruang pandangan politik dihalakan terhadap RCI berkenaan.

“Bukannya RCI tidak penting, ia jauh lebih baik daripada menyediakan mekanisme tertentu secara tergesa-gesa untuk menyiasat isu kontroversi.

“Soalan saya mengapakah siasatan RCI terhadap memoir Tommy sedangkan terdapat banyak isu tertunggak lain yang memerlukan penelitian negara. Keadaan hubungan kaum merupakan satu bidang yang memerlukan RCI dan ada banyak isu lagi.

“Saya tidak mengatakan bahawa memoir Tommy jika ia mengandungi dakwaan yang serius tidak boleh disiasat. Siasat dengan segala cara tanpa dipandu oleh pertimbangan lain,” katanya

Terdahulu, Azalina berkata, penubuhan RCI terhadap buku Tommy bukan bersifat balas dendam politik atau mencari kesalahan.

Katanya, RCI itu adalah saluran yang lebih baik untuk menyiasat segala dakwaan yang terkandung dalam buku berkenaan, berbanding pasukan petugas khas. – Malaysiapost

Komen