Richiamo Coffee lebarkan sayap ke Kemboja

Richiamo Coffee lebarkan sayap ke Kemboja

Najamuddin Mohd Nor

KEMBOJA menjadi negara pertama Richiamo Coffee melebarkan sayap perniagaannya di luar negara.

Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata perniagaan kafe berasaskan kopi itu akan membuka cawangannya di bandar Siam-Reap yang menjadi projek terbaru 2023 ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah

“Buat julung kalinya kami akan membuka rangkaian perniagaan di luar negara dengan memilih bandar Siam-Reap sebagai destinasi memperluas jenama Richiamo ke peringkat antarabangsa.

“Ia bandar ketiga terbesar di Kemboja, kami yakin projek 2023 ini dapat memikat hati dan memenuhi selera penduduk di sana,” katanya kepada Malaysiapost.

Mengulas lanjut, Muhammad Zamry berkata, pasaran perniagaan berasaskan minuman kopi masih terbuka luas di Kemboja di samping dapat membantu penduduk tempatan menjana ekonomi.

“Pasaran masih terbuka luas, kita yakin selepas ini, beberapa outlet baharu akan dibuka di negara itu.

“Selain itu, kita rasa terpanggil untuk membantu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat Kemboja bekerja terutama kepada muslim Kemboja bersama kita meraih pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Zamry berkata, Richiamo Coffe bukan sahaja menawarkan minuman kopi semata-mata, sebaliknya menyediakan menu lain di kafe mereka seperti nasi lemak, nasi goreng dan martabak.

Jelasnya, kopi dihidangkan daripada jenis Arabica yang diimport dari Brazil dan Indonesia selain menu dari makanan barat hingga hidangan tempatan.

“Kita ada 200 lebih menu. Kita bermula dengan minuman kopi, minuman sejuk dan kisar, kek dan pastry sahaja kerana kita nak konsep macam yang ada dalam pasaran.

“Tapi orang Malaysia nak makan nasi. Dari situ kita sudah ada pasta, spaghetti, set nasi macam asam pedas, masak daging salai, kari ayam dan kambing.” katanya.

Setakat ini, Muhammad Zamry berkata, Richiamo Coffee memiliki 156 cawangan di seluruh negara dan akan membuka julung kalinya di Kemboja pada Februari ini. – Malaysiapost

Komen