Sharnaaz Ahmad tiba di mahkamah

Sharnaaz Ahmad tiba di mahkamah

PELAKON Sharnaaz Ahmad, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini, bagi menghadapi pertuduhan mencederakan penghuni sebuah kondominium di Segambut, pada Jun tahun lalu.

Sharnaaz yang memakai baju kemeja biru dan berseluar hitam diiringi dua peguamnya masuk ke lobi mahkamah pada jam 9.34 pagi.

Dia akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pelakon itu kelihatan tenang dan sempat memberi salam serta mengucapkan selamat pagi kepada lebih 10 pengamal media yang merakam foto serta videonya.

Pada 16 Jun tahun lalu, Sharnaaz ditahan selepas didakwa menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut,

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dilaporkan berkata kejadian bermula apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.

Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.

Pelakon terbabit yang melihat insiden datang menegur mereka sebelum mangsa didakwa ditumbuk olehnya hingga lebam pada muka.

Susulan kejadian, Sharnaaz direman tiga hari dan dibebaskan sementara kertas siasatan lengkap untuk pertuduhan. – Malaysiapost

Komen