Tegur Menteri, pihak atasan ikut saluran betul, bukan guna media – PM

Tegur Menteri, pihak atasan ikut saluran betul, bukan guna media – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya sebarang teguran mahupun pandangan kakitangan bawahan terhadap Menteri dan pegawai atasan dalam pentadbiran tidak septutnya melalui pihak ketiga seperti media massa.

Sebaliknya, menurut Perdana Menteri, kakitangan bawahan boleh menggunakan mekanisme sedia ada seperti pertemuan yang diadakan setiap hari atau melalui mesyuarat selepas mesyuarat Kabinet.

“Ada mesyuarat ‘post cab’, dia boleh kemukakan pandangan. Kalau dia rasa agak menyinggung mungkin dia jumpa secara berasingan. Tetapi dia harus ditegur.

“Saya dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), saya selalu sebut dengan KSN, kalau arahan saya itu ikut peraturan dan sesuai, kalau tidak, tolong nasihat. Ini barulah kita kerja berpasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, semua kakitangan awam perlu menerima kenyataan mereka juga boleh ditegur oleh pegawai atasan sekiranya berlaku keterlanjuran.

Beliau berkata, jika amalan tegur menegur kesilapan itu tidak dilakukan, budaya rasa takut itu akan menyebabkan apabila pelanggaran berlaku tindakan tidak diambil untuk mencegahnya.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengeluarkan satu garis panduan jelas berhubung kaedah atau mekanisme untuk penjawat awam membuat teguran terhadap Menteri yang didapati membuat keputusan melanggar peraturan dan undang-undang.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia bagi mengelakkan penganiayaan terhadap penjawat yang membuat laporan salah laku sedemikian.

Isnin lalu, Anwar meminta kakitangan awam menegur sebarang keputusan dibuat oleh Menteri, termasuk Perdana Menteri jika ia didapati melanggar peraturan undang-undang.

Menurut Anwar, pegawai yang melaksanakan arahan mengandungi apa yang disifatkan sebagai keterlanjuran, tidak boleh dipersalahkan berikutan ia diminitkan oleh menteri dan menyebabkan mereka mematuhinya. – Malaysiapost

Komen