Tiada unsur jenayah kebakaran Wisma Jakel – Bomba

Tiada unsur jenayah kebakaran Wisma Jakel – Bomba

JABATAN Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengesahkan siasatan peringkat akhir kejadian kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7, Shah Alam, tidak mengandungi sebarang unsur jenayah.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pihaknya yakin dapat menyiapkan siasatan dalam masa terdekat.

“Siasatan kebakaran Wisma Jakel kini sudah masuk peringkat akhir dan tiada unsur-unsur jenayah dikesan pada peringkat ini, kita yakin dapat siapkan siasatan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikan selepas Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di sebuah pusat beli-belah di Damansara, hari ini.

Pada 1 Januari lalu, Wisma Jakel yang dianggarkan bernilai RM100 juta terbakar dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi.

Kebakaran di bangunan tiga tingkat berkenaan dipercayai bermula di tingkat satu iaitu bahagian pakaian lelaki dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Dua hari selepas kejadian, satu bilik simpanan kain langsir berkeluasan 2.78 meter persegi di tingkat tiga pula dilaporkan terbakar pada jam 12.40 tengah malam, 3 Januari. – Malaysiapost

Komen