Umno Alor Setar mahu cabar keputusan tiada pemilihan Presiden, Timbalan

Umno Alor Setar mahu cabar keputusan tiada pemilihan Presiden, Timbalan

UMNO Bahagian Alor Setar akan mencabar keputusan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Alor Setar, Ahmad Shokri Yaacob, berkata bantahan itu akan dibawa ke perbincangan peringkat bahagian dalam masa terdekat, lapor FMT.

“Kita akan hantar bantahan kepada RoS. Kita bantah bukan nak khianat sesiapa tapi kita nak pastikan demokrasi dalam Umno subur dan setiap tindakan dilakukan perlulah mengikut perlembagaan,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan parti, dan ahli yang tidak bersetuju berhak merujuk perkara itu ke RoS.

Beliau berkata, apa yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan parti, yang menyebut pemilihan mesti dilakukan tiga tahun sekali atau sepanjang tempoh dibenarkan penangguhan.

Ahmad Shokri yang juga perwakilan pada PAU 2022 minggu lalu mendakwa tidak semua ahli yang bangun menyokong usul tersebut bersetuju jawatan ‘top two’ tidak dipertandingkan, tetapi tidak mahu dituduh ‘jahat’.

“Selepas balik ke kawasan mereka bersuara dan kedengaran mereka menentang jawatan Presiden dan Timbalan tak dipertandingkan,” katanya.

Ahmad Shokri menyifatkan dirinya sebagai ‘orang lama’ dalam Umno, dan menurutnya pernah melalui pelbagai ‘krisis’ dalaman termasuk ketegangan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1988.

“Krisis kepercayaan di akar umbi sekarang lebih teruk. Saya bimbang dalam mesyuarat akan datang tidak ada suara yang akan datang untuk bermesyuarat.

“Kita kena bagi balik mandat kepada akar Umno, siapa yang mereka nak memimpin parti. Dulu kita ghairah desak supaya PRU diadakan cepat, sepatutnya pemilihan parti juga begitu,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail yang sebelum ini digantung keahliannya berkata, ahli parti berhak minta RoS teliti keputusan PAU 2022 itu.

“Jangan ada pemimpin kena macam saya bila bersuara kerana sayangkan parti,” katanya.

Sabtu lalu, PAU 2022 meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Ini bermakna Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan akan memegang jawatan itu untuk tempoh tiga tahun lagi. – Malaysiapost

Komen