Usahawan bangkit dari kegagalan, kini miliki 3 kilang kosmetik, jenama HAUS

Usahawan bangkit dari kegagalan, kini miliki 3 kilang kosmetik, jenama HAUS

GAGAL sekali hingga kerugian RM2 juta saat kilang kosmetik dibuka bersama suami pada tahun 2016, tidak pernah membantutkan perjuangan usahawan terkenal, Eiyma Jalil.

Malah kegagalan akibat kesilapan teknikal bancuhan bahan dalam produk kosmetik tidak memenuhi piawaian pelanggan itu dilihat sebagai isyarat berharga.

Bagi bekas pekerja bank dan bekas jurusolek artis dengan nama penuh Norazimah Jalil ini, kegagalan itu menjadi titik tolak kepada kejayaannya kini.

Dia kini memiliki tiga kilang kosmetik sendiri dan jenama produk kecantikan, Haus Cosmetics.

Kisah suka duka dan perjalanan turun naik usahanya itu dikongsi di aplikasi TikTok di pautan https://vt.tiktok.com/ZS8BALGNQ/
bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-41 pada 5 Januari lalu.

“Hasil duit simpanan, saya nekad membuka kilang kosmetik sendiri sekitar 2016. Masa itu cita-cita besar dan melangit kerana kilang berkenaan menjanjikan formula halal tahap antarabangsa.

“Tapi malangnya, kilang itu kerugian RM2 juta pada tahun kedua operasi. Saya termenung dan jatuh terduduk mengenangkan nasib. Jumlah kerugian itu bukan kecil anak.

“Namun gagal sekali, bukan bererti gagal selamanya. Kita perlu bangkit, konsisten dan fokus dengan impian yang mahu digapai. Ia bukan sesuatu yang mudah, namun setiap yang terjadi terselit hikmah bermakna,” kata Eiyma.

Menerusi video sama, Eiyma mengimbas kembali memori lama waktu muda.

“Memang rindu zaman dulu kala waktu remaja dan zaman kanak-kanak. Saya anak sulung daripada empat beradik, datang dari keluarga sederhana. Saya pernah belajar di sekolah agama. Lagak saya dulu macam ustazah, jangan main-main.

“Tahun 2000, saya menamatkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Kuantan. Kemudian, terus dapat kerja di bank. Tahun 2018 saya berkahwin dengan Azizi Mohd dan dikurniakan tiga cahaya mata.

“Malah saya sempat sambung pengajian ijazah sarjana di UiTM Shah Alam pada 2019. Masa itu, saya bekerja bank sambil belajar selain jadi jurusolek artis,” katanya yang ketika tempoh itu turut hamil tujuh bulan anak pertama.

Tambah pemilik syarikat GIM Cosmetic Industries Sdn Bhd ini lagi, istilah putus asa tiada dalam kamus hidupnya.

“Saya berusaha bangkit semula memikirkan idea baharu. Allah bagi jalan keluarkan jenama kosmetik Haus pada 2017. Saya, suami, staf dan ejen bertungkus lumus menaikkan jenama ini siang dan malam.

“Pada 2020 saya juga mula memberanikan diri membuat lintas langsung di media sosial, walaupun muka tak lawa. Saya optimis mengajar masyarakat dan pengguna mengenai bahan, teknologi dan cara cari produk selamat.

“Siang malam lintas langsung, walaupun tak ada orang ‘view’. Selepas beberapa tahun konsisten, ia membuahkan hasil,” katanya.

Eiyma menjelaskan rezeki Allah tidak pernah salah alamat.

“Tahun 2021, Allah beri nikmat terindah di era pandemik Covid-19 apabila bedak Magicpink Compact terjual 100,000 unit. Taruhan produk baharu, suplemen Beaubright juga berjaya dicetuskan dengan kolaborasi saintis dari Switzerland yang juga pengasas Mibelle Biochemistrry, Dr Fred Zullie.

“Lebih manis kembara perjalanan ini diiktiraf anugerah Superbrand dan Nona Superwoman Award. Harapnya akan ada banyak lagi kejayaan manis, kecemerlangan dan terus kaya menyusul selepas ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen