Hutang kerajaan umpama hutang peribadi, keluarga – Ahmad Maslan

Hutang kerajaan umpama hutang peribadi, keluarga – Ahmad Maslan

DATUK Seri Ahmad Maslan menyifatkan hutang kerajaan yang kini mencecah hampir RM1.5 trilion, umpama hutang peribadi, keluarga mahupun syarikat.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata jika sudah tiada jalan lain ketika memerlukan, hutang adalah langkah yang perlu dibuat demi manfaat rakyat.

“Terpenting boleh membayar ikut jadual. Juga jangan bebankan beberapa generasi, baru boleh diselesaikan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dua hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hutang negara termasuk liabiliti kini mencecah hampir RM1.5 trilion dan usaha menanganinya wajar disegerakan.

Kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, kedudukan hutang negara terkini itu sudah mencecah melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Semalam mengemukakan tujuh langkah untuk mengurangkan hutang negara iaitu yang pertama dengan menambah pendapatan kerajaan, diikuti mengurangkan ketirisan seperti rasuah.

Jelas beliau, langkah ketiga mengetatkan penguatkuasaan seperti menghapuskan penyeludupan dan keempat, mengurangkan ekonomi gelap.

“Kelima, meningkatkan pendigitalan ekonomi, diikuti mengelakkan segala bentuk pembaziran dan terakhir ialah subsidi perlu bersasar,” katanya. – Malaysiapost

Komen