Kanak-kanak Bangladesh dijumpai terperangkap 6 hari dalam kontena

Kanak-kanak Bangladesh dijumpai terperangkap 6 hari dalam kontena

GARA-GARA tertidur di dalam kontena telah menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ‘hanyut’ hingga ke Malaysia. 

Dia kemudiannya telah ditemui dalam keadaan tidak bermaya setelah enam hari terkurung di dalam kontena yang baru sahaja  tiba di Pelabuhan Barat (Westport), Pelabuhan Klang, malam semalam.

Kapal berkenaan dilaporkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.

Video mengenai penemuan kanak-kanakĀ  tular di media sosial selepas terkunci dalam kontena berkenaan.

Kandungan video berdurasi 56 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah tidak bermaya keluar dari kontena sebaik pintunya dibuka oleh anggota Polis Bantuan Pelabuhan

Berdasarkan siasatan awal kanak-kanak itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia diangkut ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.

Menurut maklumat sumber, seorang daripada kakitangan pelabuhan dikatakan terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena itu.

Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan turut menjalani proses dokumentasi.

Sumber turut memaklumkan bahawa kanak-kanak itu sudah dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal sama hari ini. -Malaysiapost

Komen