Konsep Madani tunjang hala tuju Kerajaan Perpaduan – PM

Konsep Madani tunjang hala tuju Kerajaan Perpaduan – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pendekatan konsep Madani akan menjadi tunjang dan garis panduan dalam mengemudi negara sebagai hala tuju Kerajaan Perpaduan, pada tahun ini dan mendatang.

Perdana Menteri berkata, konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar bagi memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan dirangkul peradaban yang dicitakan.

Menurutnya, konsep itu juga ditakrifkan dengan sebuah strategi mapan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat Ihsan.

Kata beliau, dalam dunia yang serba tidak menentu, ditandai dengan kerumitan percanggahan, kekacauan dan keserentakan, suatu kerangka strategik yang komprehensif harus dibangunkan untuk mengemudi negara menempuh zaman yang ditakrifkan sebagai pascanormal.

“Pertumbuhan dan pengembangan perlu dicapai dalam konteks yang lebih luas yakni ekonomi manusiawi mengutamakan keperluan rakyat.

“Khususnya, yang miskin dan terpinggir, yang membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan dalam sistem kapitalisme yang tidak terkawal, yang membiak ketidaksamaan kekayaan dan ketidaksamaan taraf hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Anwar berkata, konsep Madani juga dilihat sebagai usaha dan upaya untuk mencipta lonjakan baharu buat negara.

Beliau juga menjelaskan akan mencerakinkan mengenai bagaimana konsep itu dapat menjunjung nilai dan etika pemerintahan yang baik buat rakyat. – Malaysiapost

Komen