KPM tambah baik isu pendidikan khas golongan OKU – Fadhlina

KPM tambah baik isu pendidikan khas golongan OKU – Fadhlina

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menambah baik isu berkaitan pendidikan bagi golongan kurang upaya (OKU) termasuk meningkatkan fasiliti serta latihan untuk guru-guru pendidikan khas.

Menterinya, Fadhlina Sidek, menerusi hantaran di Facebook menzahirkan penghargaan buat Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang sering memberikan pendangan berkaitan pendidikan khas.

“Senator Datuk Ras Adiba adalah rakan baik saya semasa di Dewan Negara. Beliau hadir bersama rakan-rakan yang lain untuk memberikan pandangan berkaitan isu-isu pendidikan khas dan keperluan meningkatkan fasiliti untuk OKU serta kesegeraan latihan untuk guru-guru pendidikan khas.

“Saya rakamkan ucapan terima kasih di atas saranan, pandangan serta penegasan yang dikongsikan dalam memastikan sistem pendidikan negara sentiasa ditambah baik tanpa meminggirkan siapa pun.

“Terima kasih daun keladi, ada kesempatan, kita berkongsi pandangan lagi!,” katanya dalam hantaran itu, hari ini.

Ras Adiba yang juga bekas personaliti penyiaran, mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara pada Mei 2020, turut mewakili golongan OKU.

Beliau turut dikenali sebagai aktivis sosial yang memperjuangkan hak-hak golongan OKU. – Malaysiapost

Komen