Masjid di Johor buat solat hajat esok, mohon petunjuk pencarian Ustaz Musthafa

Masjid di Johor buat solat hajat esok, mohon petunjuk pencarian Ustaz Musthafa

SEMUA masjid di Johor diminta mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat esok sebagai usaha meminta petunjuk Allah SWT mengesan seorang jemaah warga Malaysia yang hilang di Makkah, sejak sebulan lalu.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut, berkata Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Makkah ketika menunaikan ibadah umrah.

“Esok lepas solat Jumaat, kita akan adakan solat hajat terutama masjid kerajaan di seluruh Johor untuk kita rujuk kepada Allah SWT,” katanya memetik Berita Harian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan kerajaan negeri sedia membantu keluarga guru berkenaan, yang dijangka bertolak ke Makkah bagi mencari bapanya esok.

Katanya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sudah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM5,000 kepada keluarga jemaah itu yang disampaikan dalam pertemuan di kediaman guru terbabit, dua hari lalu.

“Saya dimaklumkan anak Musthafa, akan berangkat esok ke Makkah untuk mencari bapanya. Bantuan kewangan sudah disalurkan tetapi jika ada tambahan mereka boleh memohon.

“Didoakan keselamatan mereka pergi dan pulang serta usaha mencari, diberikan kemudahan,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, Musthafa yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja berangkat menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz dan dijangka pulang ke Malaysia pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun, bapa kepada lima orang anak itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari bapanya tiada di bilik hotel di Makkah.

Satu laporan polis telah dibuat di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi berhubung kehilangan Musthafa.

Berita kehilangan Musthafa juga mendapat perhatian Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi memantau perkembangan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu kes terbabit. – Malaysiapost

Komen