Muhyiddin jawab pernyataan pembelaan saman fitnah Anwar

Muhyiddin jawab pernyataan pembelaan saman fitnah Anwar

PENYATAAN pembelaan saman fitnah telah difailkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur, kelmarin.

Saman itu berhubung ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang didakwa berbaur fitnah mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima gaji sebanyak RM15 juta ketika berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Memetik Sinar Harian, Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif berkata, ketika pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini, mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 16 Februari ini.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 23 Februari secara dalam talian di hadapan penolong pendaftar yang sama,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Anwar turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Chetan Lachman Jethwani mewakili Muhyiddin sebagai defendan.

Anwar, 75, menfailkan saman ke atas Muhyiddin kerana telah membuat kenyataan fitnah itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim, pada 5 Disember lalu.

Muhyiddin didakwa melakukan ucapan berbaur fitnah dalam kempen calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

Justeru, Anwar menuntut Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa. – Malaysiapost

Komen