Peguam pertikai senarai hakim dengar prosiding kes SRC

Peguam pertikai senarai hakim dengar prosiding kes SRC

BELUM sempat prosiding bermula, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bangun dan membantah senarai panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan semakan sabitan dan hukuman kes SRC International Sdn Bhd oleh Datuk Seri Najib Razak.

Panel hakim yang mendengar prosiding itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli; tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Muhammad Shafee membantah komposisi panel hakim yang turut menyenaraikan nama Abu Bakar.

“Mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mesti terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan sahaja.

“Apakah kepentingan dari segi keadilan, meletakkan Abu Bakar dalam senarai panel itu di mana Ketua Hakim Negara tidak menyatakan alasan berhubung penyenaraian berkenaan,” katanya memetik Sinar Harian.

Menurut Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan seorang hakim Mahkamah Rayuan selain Presiden Mahkamah Rayuan boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan jika Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki sedemikian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, Najib selaku pemohon mestilah menunjukkan wujud keadaan bahaya atau berat sebelah apabila Abu Bakar dimasukkan dalam senarai panel itu.

“Tiada persoalan dalam penyenaraian hakim ini dalam komposisi panel kerana ia dibuat sejajar peruntukan dalam perlembagaan.

“Beliau adalah hakim yang kompeten dan berwibawa kerana dinamakan oleh ketua hakim,” katanya.

Prosiding hujahan dihentikan sementara. – Malaysiapost

Komen