‘Pulau’ filem seram, bukan porno – LPF

‘Pulau’ filem seram, bukan porno – LPF

LEMBAGA Penapis Filem (LPF) menjelaskan filem ‘Pulau’ yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini adalah sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti digembar-gemburkan.

LPF yang juga badan di bawah Kementerian Dalam Negeri, menerusi kenyataan memaklumkan terdapat perbezaan antara kandungan treler yang dikongsikan dalam media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan.

“LPF mengambil maklum akan isu yang berbangkit bagi filem bertajuk “Pulau” yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat umum setelah promosi filem ini dimulakan melalui perkongsian poster dan sedutan treler filem menerusi media sosial.

“Treler filem ”Pulau” telah ditayangkan secara dalam talian (melalui platform internet), maka didapati bahawa kandungan yang ditayang tersebut adalah di luar bidang kuasa LPF,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Dalam pada itu, LPF berkata pihaknya sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana ditetapkan dalam garis panduan.

Menurutnya, LPF menghargai pandangan dan maklum balas berkenaan dengan penapisan filem di negara ini.

“LPF juga sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak terutamanya pandangan yang bersifat konstruktif berdasarkan kepada keseluruhan kandungan sesuatu filem,” katanya lagi.

Selasa lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan berkata tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan filem bergenre seram, Pulau yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF).

Treler filem Pulau yang mengisahkan kembara sekumpulan anak muda ke sebuah pulau berhantu, menerima kecaman warga maya selepas dimuat naik di YouTube, baru-baru ini.

Rata-rata netizen terkejut dengan paparan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini dan adegan intim ala Hollywood, selain bercanggah dengan nilai moral bagi filem tempatan. – Malaysiapost

Komen