Sambut baik Majlis Ulama Umno, Khairuddin ucap terima kasih PAS

Sambut baik Majlis Ulama Umno, Khairuddin ucap terima kasih PAS

DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengucapkan terima kasih kepada PAS yang berlapang dada dan menyambut baik langkah Umno menubuh Majlis Ulama Umno.

Bekas pemimpin PAS yang kini condong menyokong Umno itu menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin sebagai sesuatu yang positif untuk kedua-dua parti terutama umat Islam di negara ini.

“Terima kasih Mursyidul Am PAS. Secara peribadi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Haji Hashim Jasin yang mengalu-alukan penubuhan Majlis Ulama Umno.

“Harapan beliau agar Umno dan PAS dapat dirapatkan hubungan menerusi program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan parti sangat wajar.

“Ini kerana Umno dan PAS sememangnya perlu sentiasa bekerjasama dalam memperkukuh Islam dalam negara termasuk ke arah perpaduan umat dan rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.

Khairuddin berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Hashim yang menyifatkan penubuhan Majlis Ulama Umno menguntungkan umat Islam.

Hashim turut memaklumkan PAS tidak menganggap Majlis Ulama Umno itu memberi saingan kepada PAS.

Pada masa sama, Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura PAS berkata, Majlis Perundingan Islam (MPI) akan disemarakkan kembali dan Majlis Ulamak Umno telah diminta Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memainkan peranan utama menjayakannya.

“Sebelum ini MPI yang menghimpunkan 83 tokoh-tokoh Islam digerakkan dan dipengerusikan oleh Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri pada 2016 turut disertai pimpinan PAS sehingga Mursyidul Am PAS ketika itu, Tuan Guru Datuk Dr Harun Din dilantik mengetuai Kluster Dakwah, MPI.

“Sebanyak tujuh program dalam bentuk Multaqa dan Ijtimak menghimpunkan lebih ramai lagi tokoh-tokoh Islam dalam masyarakat termasuk daripada PAS berjaya dilaksanakan antara tahun 2016 hingga 2018,” katanya. – Malaysiapost

Komen