Suhaimi Sulaiman dilantik Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia

Suhaimi Sulaiman dilantik Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia

PERSONALITI televisyen, Suhaimi Sulaiman dilantik menjadi Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia yang baharu, hari ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook miliknya.

“Sekalung tahniah buat saudara Suhaimi bin Sulaiman atas lantikan sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia yang baharu.

“Suhaimi berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran, pernah bertugas di Kumpulan Media Sarawak, Bernama, Astro Awani dan Media Prima.

“InshaAllah dengan kepakaran beliau akan terus memacu kecemerlangan dan memberi suntikan baharu buat Jabatan Penyiaran Malaysia,” katanya.

Dengan pelantikan Suhaimi merupakan kali keempat jawatan Ketua Pengarah Penyiaran disandang oleh individu bukan dari RTM termasuk Datuk Che Roslan Che Daud dari Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Ibrahim Yahaya yang merupakan bekas Pengarang Berita Harian yang berkhidmat dari 2009 hingga 2011.

Suhaimi, 61, menamatkan tugasnya sebagai Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) di TV Sarawak pada Ogos 2022 dan sebelum itu merupakan Pengerusi Bernama.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran pada 1990 di TV3 sebagai wartawan dan penolong penerbit dan menjadi pemberita pada 1993 sehingga menjadi salah satu daripada nama terkemuka di Malaysia dalam bidang penyiaran.

Pada 2007, beliau menyertai satu usaha permulaan untuk melancarkan saluran berita 24 jam pertama, Astro Awani.

Pada Mac 2015, Suhaimi meninggalkan stesen tersebut bagi memberi tumpuan kepada bidang perundingan dan latihan media. -Malaysiapost

Komen