Wang BAP lesap: Polis rakam keterangan guru besar, 2 individu

Wang BAP lesap: Polis rakam keterangan guru besar, 2 individu

KETERANGAN seorang guru besar dan dua individu selesai dirakam polis bagi membantu siasatan kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 di Semenyih, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, dua individu itu adalah seorang guru dan pekerja restoran tempat pengadu (guru besar) membeli minuman ketika kejadian tersebut.

“Selain tiga individu ini, polis juga akan memanggil pekerja bank tempat wang berkenaan dikeluarkan.

“Kami tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam, bagaimanapun siasatan masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, hari ini.

Sasikala berkata, kejadian itu juga tidak dapat dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terlibat.

Pada 16 Januari lalu, media melaporkan, guru besar berusia 50 itu baru sahaja mengeluarkan wang BAP dari sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira pukul 10 pagi, sebelum memasukkannya ke dalam sebuah beg.

Mangsa kemudian meletakkan beg tersebut di tempat duduk penumpang hadapan keretanya dan meninggalkan kenderaan itu untuk pergi ke kedai makan bagi membeli minuman.

Bagaimanapun, sekembalinya ke kereta mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri. -Malaysiapost

Komen