‘Berhenti buat lawak, selesaikan isu telur ayam segera’ – Wan Saiful

‘Berhenti buat lawak, selesaikan isu telur ayam segera’ – Wan Saiful

KERAJAAN diminta berhenti membuat lawak dengan memberi alasan tidak munasabah berhubung kekurangan bekalan telur ayam yang terus membelenggu pengguna di negara ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata telur ayam untuk pasaran domestik terus berkurangan manakala bekalan eksport tiada masalah sedangkan telur dihasilkan di Malaysia.

Dalam isu yang masih belum selesai, katanya, beliau terhibur dengan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh bahawa kerajaan tidak boleh paksa ayam bertelur.

“Saya nak tanya, kalau ayam Malaysia belum bertelur, mana pula datangnya telur ayam yang berbondong-bondong dieksport ke Singapura?.

“Saya harap tak ada menteri Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) yang tidak kompeten ini nanti jawab bahawa ‘by right’ kita tak boleh paksa ayam Malaysia bertelur untuk pasaran domestik sebab ayam-ayam ini lebih suka pasaran eksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Fuziah dipetik berkata, kekurangan bekalan telur ayam masih berlaku di seluruh negara disebabkan baka ayam penelur yang baharu dibawa masuk ke negara ini masih belum bertelur.

Sehubungan itu, Wan Saiful mengesa kerajaan mendedahkan jumlah sebenar eksport telur Malaysia ketika ini kerana pihaknya belum mendengar bekalan eksport bermasalah.

“Kenapa eksport boleh tapi bekalan domestik tak selesai?.

“Jelaskan juga berapa jumlah keseluruhan pengeluaran telur oleh lima syarikat pengeluar telur terbesar tempatan iaitu QL Resources Berhad, LTKM Berhad, CCK Consolidated Holdings Berhad, Lay Hong Berhad dan Teo Seng Capital Berhad.

“Sebelum jadi kerajaan bukan main sembang pandai semua perkara, tapi rupanya semuanya tin kosong seperti bos mereka juga,” katanya.

Wan Saiful berkata, mengikut Perangkaan Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kadar pengeluaran telur negara hampir 14 bilion biji pada tahun 2021.

Menurutnya, jika mengambil kira penggunaan telur oleh rakyat Malaysia berjumlah 30 juta sehari atau 930 juta sebulan seperti diberitahu KPDN, jumlahnya hanya 11.16 bilion biji telur.

“Maksudnya, kalau pengeluaran 14 bilion biji tapi penggunaan hanya 11.16 bilion biji, maka seharusnya bekalan kita cukup, bukan kurang.

“Sebab itu perlu ketelusan dalam hal ini. Menteri perlu segera jelaskan perangkaan sebenar jumlah pengeluaran telur tempatan dan berapa pula jumlah telur eksport?.

“Perlu jelaskan kenapa sebenarnya bekalan domestik tak cukup. Jangan sembunyikan fakta dan jangan cuba lindungi sesiapa,” katanya.

Beliau turut meminta penjelasan syarikat mana yang diberikan AP import selain mahukan jaminan kerajaan sama ada bekalan benar-benar akan pulih dalam tempoh dua bulan seperti dijanjikan.

“Menteri PH-BN masih tidak kompeten bekerja untuk rakyat. Berhentilah tunjuk tidak kompeten dengan idea seperti tak boleh paksa ayam bertelur dan rakyat jangan makan ayam. Kamu dah jadi kerajaan. Cuba buat kerja betul-betul,” katanya. – Malaysiapost

Komen