KPM siasat dakwaan BAP dibayar kurang daripada RM150

KPM siasat dakwaan BAP dibayar kurang daripada RM150

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyiasat klip video tular di TikTok mengenai isu Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang didakwa diterima dengan jumlah berbeza-beza.

Menerusi kenyataan media hari ini, KPM berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lengkap mengenai perkara itu sebelum siasatan dilakukan.

“Tindakan tegas akan dilaksanakan sekiranya wujud kebenaran seperti yang didakwa.

“KPM ingin memohon kerjasama semua murid, ibu bapa atau penjaga untuk membuat aduan secara rasmi sepanjang masa melalui SISPAA KPM di https://moe.spab.gov.my jika berdepan situasi sama.

“Aduan juga boleh disalurkan menerusi talian 03-8884 6456 (waktu pejabat) dan butiran pengadu akan dirahsiakan demi menjaga kebajikan pihak yang membuat aduan,” katanya.

Semalam, tular klip video di TikTok berhubung seorang ibu kepada tiga orang anak yang belajar di sekolah sama tetapi menerima jumlah bayaran BAP yang berbeza-beza.

Wanita berkenaan mempersoalkan tindakan seorang guru lelaki dengan sengaja mengurangkan RM50 daripada jumlah yang sepatutnya diperuntukkan kerajaan iaitu RM150.

Wanita yang dikenali sebagai Shuhada itu mendakwa guru tersebut tidak jujur apabila hanya menyerahkan RM100 sahaja kepadanya ketika hadir mengambil wang BAP di sekolah anaknya. -Malaysiapost

Komen