MA63 jadi keutamaan Anwar dalam Kerajaan Perpaduan

MA63 jadi keutamaan Anwar dalam Kerajaan Perpaduan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkankan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara yang menjadi keutamaan untuk ditanganinya selain fokus kepada isu kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, kerjasama baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dan Sarawak perlu dihormati dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tadi (malam tadi) menghadiri majlis makan malam negeri yang dianjurkan Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya bicara panjang soal peri penting memegang janji dan Perjanjian 1963 antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak serta Sabah.

“Kerjasama persahabatan antara wilayah yang semakin erat saat ini mesti menjadi hujah dan asas yang ampuh dalam memungkinkan hak Sarawak dan juga Sabah dihormati secara adil dan saksama, dan Islam amat menitikberatkan prinsip memegang pada janji,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.

Anwar berkata, MA63 sudah tertangguh begitu lama dan beliau berjanji akan menyelesaikan isu tersebut berdasarkan “once and for all for the sake of this country”.

“Saya turut tegaskan kepada rakan-rakan di Kementerian Kewangan bahawa sekiranya peraturan dituruti secara baik dan lancar, maka tidak ada masalah untuk ditingkatkan jumlah kelulusan projek dari RM50 juta saat ini ke satu jumlah yang munasabah,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menyentuh soal kaum, agama dan wilayah yang kini hangat dibangkitkan terutama semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, ada satu perkara parti-parti di Semenanjung yang terus bergelut merebut kuasa adalah perlu belajar dari semangat perpaduan yang ditonjolkan rakyat Sarawak.

“Al-Quran menganjurkan untuk kenal mengenal antara satu sama lain, dan ini seharusnya menginsafkan kita untuk menghentikan seruan kepada perpecahan antara kaum.

“Kerajaan yang ada pada hari ini tidak akan bertolak ansur sama sekali terhadap sesiapa sahaja yang cuba menggugat perpaduan antara kaum dan agama di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen