Masjid Selangor semakin sepi: PAS fitnah, berniat jahat, tidak berasas

Masjid Selangor semakin sepi: PAS fitnah, berniat jahat, tidak berasas

KERAJAAN Selangor menyangkal dakwaan masjid-masjid di negeri itu ketika ini semakin sunyi dan tidak cukup merangsangkan. 

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh Mohd Shafie Ngah yang merupakan Yang Di Pertua PAS Kawasan Bangi adalah berniat jahat dan tidak berasas. 

Sehubungan itu, Kerajaan Selangor menggesa dakwaan  Mohd Shafie yang disiarkan menerusi Harakah Daily bertarikh 19 Januari itu ditarik balik dengan segera. 

“Beliau mendakwa masjid kini semakin sepi dan sambutannya tidak cukup merangsang adalah reka cerita, dusta, fitnah dan khabar bohong semata-mata untuk raih kepentingan politik.

“Oleh yang demikian, saya melihat dakwaan yang dilemparkan ini tanpa sebarang bukti yang jelas dan tidak berasas sama sekali. 

“Sehubungan itu, saya menyanggah dan menggesa untuk pihak terbabit menarik balik kenyataan tersebut dengan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas mengenainya, Mohd Zawawi berkata, Kerajaan Selangor bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keharmonian masjid dan surau di negeri itu melalui undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor di bawah Seksyen  12 (a) Enekman Jenayah Syariah (Selangor) No. 9 Tahun 1995 iaitu denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.  

Katanya, perkara ini sejajar dengan Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris yang melarang penggunaan masjid dan surau bagi menjalankan program serta ceramah yang Berunsur kepentingan politik kepartian yang dikeluarkan pada 9 Januari lalu. 

Jelasnya, baginda menegaskan, masjid mesti kekal bebas daripada unsur kepartian dan merupakan tempat ibadah dan kegiatan ilmu yang harmoni, tenang, ukhwah dan bersilaturahim.  

“Berkenaan tuduhan beliau (Mohd Shafie) berkaitan pengkuliah yang ditarik balik tauliah mengajarnya, mereka didapati terlibat di dalam politik kepartian secara aktif. 

“Sebahagian daripada mereka cuba membawa fahaman Takfiri, Ghuluw (Melampau), terpengaruh dengan fikrah Khawarij yang keras dan radikal,” katanya. -Malaysiapost

Komen