Najis, bangkai tikus dalam premis makanan

Najis, bangkai tikus dalam premis makanan

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengeluarkan notis penutupan 14 hari kepada tiga daripada empat premis makanan di Indera Mahkota, hari ini.

Notis dikeluarkan selepas pemeriksaan mendapati terdapat najis dan bangkai tikus dalam premis berkenaan.

Pengarah JKN Pahang, Datuk Nor Azimi Yunus berkata, arahan penutupan dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Ada premis yang kita periksa menggunakan peti sejuk rosak selain mencampurkan barangan mentah dan bermasak dalam ruangan sama (dalam peti ais).

“Selain itu, pemarkahan dibuat pegawai penguat kuasa kita terhadap premis terbabit mendapati mereka hanya memperoleh markah penggredan bawah 50 peratus.

“Jadi, kita tidak ada pilihan selain mengarahkan mereka menghentikan operasi bagi melakukan kerja pembersihan seperti ditetapkan,” katanya.

Nor Azimi berkata demikian selepas mengetuai operasi mega bersepadu perundangan kesihatan awam di kawasan Indera Mahkota 8, hari ini.

Operasi dua hari bermula hari ini membabitkan 135 anggota penguat kuasa diadakan serentak di 11 daerah di Pahang.

Beliau bagaimanapun berkata tiga pemilik premis itu boleh memohon untuk memendekkan tempoh arahan penutupan dikenakan jika sudah selesai melakukan pembersihan yang diarahkan.

“Kalau dah siap (bersihkan), maklumkan kepada pegawai JKN Pahang dan mereka akan datang ke premis bagi melakukan pemeriksaan.

“Jika sudah tiada masalah, kita boleh benarkan mereka kembali beroperasi seperti biasa,” katanya lagi.

Nor Azimi turut menasihatkan orang ramai terutamanya pelanggan kedai makan supaya lebih peka dengan kebersihan premis yang dikunjungi mereka. – Malaysiapost

Komen