Pemilik bersama Kelab Komedi Crackhouse dibicarakan 14 April

Pemilik bersama Kelab Komedi Crackhouse dibicarakan 14 April

JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi yang dikemukakan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel bagi menggugurkan tiga pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aslinda Che Seman memaklumkan keputusan itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hasniah Ab Razak pada sebutan kes itu hari ini, lapor Utusan Malaysia.

Turut hadir pada prosiding tersebut ialah peguam bela, M Pravin yang mewakili Rizal.

Mendengar keputusan itu, Pravin mohon supaya mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan kes kerana pihaknya akan memasukkan representasi kedua.

“Untuk representasi kedua, alasan masih sama iaitu untuk gugurkan kes namun perkara baharu yang akan dimasukkan. Saya mohon tarikh sebutan seterusnya ditetapkan bagi keputusan representasi baharu.

“Saya memerlukan dua hingga tiga minggu untuk failkan representasi itu dan mohon keputusannya sebulan daripada sekarang,” katanya.

Bagaimanapun Nor Hasniah menolak permohonan itu.

Hakim itu menyatakan, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan agar tidak membuang masa dan sementara menunggu perbicaraan bermula, pihak pembelaaan boleh menghantar representasi kedua.

“Saya akan terus tetapkan tarikh perbicaraan kerana itu akan menjimatkan masa mahkamah tetapi kamu boleh teruskan masukkan representasi, apabila kamu dapat keputusannya nanti, boleh maklum pada mahkamah.

“Kalau representasi kedua diterima, kita tak teruskan dengan perbicaraan,” katanya.

Hasniah kemudian menetapkan 6 April ini bagi sebutan semula kes untuk pemfailan pernyataan saksi.

Bagi tarikh perbicaraan pula, mahkamah menetapkan selama tujuh hari bermula pada 14 April, 2,3,22 dan 31 Mei serta 1 dan 2 Jun 2023.

Mengikut tiga pertuduhan itu, Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, jam 1.17 petang, 13 Julai tahun lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – Malaysiapost

Komen