Peruntukan RM1 bilion bangun prasarana sempadan Malaysia-Indonesia – PM

Peruntukan RM1 bilion bangun prasarana sempadan Malaysia-Indonesia – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur asas serta meningkatkan keselamatan di sempadan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu bagi membina Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta jalan raya di kawasan berdekatan sempadan.

Menurutnya, pembangunan di kawasan sempadan Sarawak yang berdekatan dengan Nusantara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden Joko Widodo di Jakarta, minggu lalu.

“Kita telah putuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan CIQS sempadan dari segi keselamatan dan meningkatkan keupayaan CIQS dan prasarana asas seperti jalan raya kerana kita tidak mahu dilihat seperti terlalu daif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Dalam mesyuarat itu, Anwar berkata kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menaikkan pemberian khas untuk Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula khusus diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Beliau berkata, prinsip pemberian itu diputuskan oleh pemimpin terdahulu yang melihat kedudukan Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia yang dilihat lebih mundur ketika itu.

“Sebelum ini, Sarawak hanya diberi RM16 juta… tentunya saya selaku Menteri Kewangan berpendapat ini satu jumlah yang tidak munasabah.

“(Tetapi) untuk beri terlalu tinggi pun tidak mampu kerana dalam 112D menyebut pembayaran itu tertakluk kepada keupayaan kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

Komen