Setiausaha Kewangan Sarawak dilantik Ahli Lembaga Pengarah LHDN

Setiausaha Kewangan Sarawak dilantik Ahli Lembaga Pengarah LHDN

SETIAUSAHA Kewangan Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Sarawak hari ini.

Perdana Menteri berkata, pelantikan Wan Lizozman yang mewakili Sarawak itu adalah menepati syarat-syarat utama iaitu profesionalisme dan berpengalaman.

“Kerajaan bersetuju melantik Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak sebagai wakil untuk menganggotai Lembaga Pengarah LHDN.

“Ia adalah lembaga penting di mana portfolionya memerlukan pengalaman dan profesionalisme dan Setiausaha Kewangan Negeri menepati kriteria tersebut,” katanya.

Pelantikan itu dicadangkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg susulan Kabinet meluluskan cadangan pindaan kepada Akta Hasil Dalam Negeri 1995 untuk memasukkan wakil masing-masing dari Sarawak dan Sabah sebagai ahli lembaga LHDN.

Anwar berkata, wakil Sabah telah dilantik menganggotai LHDN pada 1 September lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat bersetuju menambah baik pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak serta meneroka formula yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan negeri dan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan komited untuk menyegerakan rundingan formula baharu pemberian khas ini. Sebagai langkah permulaan, ia akan dinaikkan kepada RM300 juta setahun,” katanya. – Malaysiapost

Komen