Budak lemas ketika mandi kolam renang

Budak lemas ketika mandi kolam renang

PERCUTIAN sekeluarga di sebuah villa di Labuan, berakhir tragis apabila anak lelaki mereka berusia enam tahun lemas ketika mandi di kolam renang di premis itu, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Unit Kecemasan Hospital Labuan, dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, siasatan awal mendapati mangsa yang menginap di villa berkenaan bersama kanak-kanak lain pergi mandi di kolam renang yang terletak di hadapan villa.

Katanya, ibu mangsa berada di tepi kolam dan mengawasi mangsa mandi bersama kanak-kanak yang lain.

“Kira-kira 15 minit kemudian, semua kanak-kanak yang mandi di dalam kolam itu diarah untuk masuk ke dalam villa.

“Namun, ibu mangsa tidak melihat anaknya lalu masuk ke dalam rumah untuk mencari mangsa.

“Selang beberapa minit, beberapa kanak-kanak menjerit di kawasan kolam kerana menemui mangsa di dalam kolam dengan keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, mangsa kemudian diangkat ke tepi kolam sebelum diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan awal mendapati bahawa tiada unsur jenayah dalam kejadian itu. – Malaysiapost

Komen