Ebit sedih nasib kanak-kanak jalanan lalui musim sejuk di Bangladesh

Ebit sedih nasib kanak-kanak jalanan lalui musim sejuk di Bangladesh

PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew menzahirkan rasa sedih melihat nasib gelandangan di Bangladesh termasuk kanak-kanak yang terpaksa tidur di jalanan ketika musim sejuk.

Ebit yang ketika ini berada di Bangladesh dalam misi dakwah dan bantuan kemanusian, berkongsi kisah kehidupan golongan itu menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Menurut Ebit, dia tidak dapat membayangkan bagaimana kumpulan gelandangan berkenaan termasuk anak kecil ‘mampu’ bertahan dengan cuaca sejuk mencecah 11 darjah Celcius.

“Sedih rasa. Pagi-pagi sejuk. Sampai 11 darjah celcius. Tapi ada beberapa keluarga masih tidur dengan anak kecil. Berselimut seluruh badan.

“Tidur di jalanan. Membesar dijalanan. Kami nak bergerak pagi di jalan terasa sejuk. Bagaimanalah ya hidup mereka. Semoga Allah bantu dan permudahkanlah mereka,” tulis Ebit.

Menerusi hantaran sama, Ebit juga memuatnaik beberapa gambar menyantuni golongan berkenaan termasuk memberi bantuan kepada mereka.

Semalam, Ebit berkongsi rezeki menjamu nasi beriyani buat penduduk miskin di Bangladesh yang hidup di tepi laluan kereta api.

Dia turut berasa sangat sayu melihat masyarakat di kawasan itu sangat menghargai sumbangan makanan kepada mereka.

Ebit turut berkesempatan mengedarkan sendiri nasi beriyani kepada penduduk yang berbaris untuk mendapatkan makanan. – Malaysiapost

Komen