FLFAM jamin bekalan ayam, telur pulih bermula bulan ini

FLFAM jamin bekalan ayam, telur pulih bermula bulan ini

PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) memberi jaminan bekalan ayam dan telur akan kembali normal dan mencukupi untuk pasaran tempatan bermula bulan ini.

Jaminan dan komitmen FLFAM dizahirkan pada pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, di Putrajaya, Khamis lalu.

MAFS dalam kenyataan memaklumkan pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha MAFS, Datuk Lokman Hakim Ali dan FLFAM yang diketuai, Tan Chee Hee.

“Pada pertemuan itu membincangkan Memorandum FLFAM berkaitan isu yang menjejaskan kemampanan dan daya saing industri unggas khususnya ayam daging dan telur.

“Antara isu yang dibangkitkan termasuk harga kawalan dalam tempoh panjang menyebabkan penternak berdepan kerugian kerana kos pengeluaran terus meningkat.

“Isu lain adalah seperti keperluan meningkatkan produktiviti melalui penternakan secara sistem tertutup, isu aliran tunai dalam kalangan penternak, jangkaan bekalan ayam dan telur serta kos pengeluaran,” menurut kenyataan itu hari ini.

Jelas MAFS, FLFAM turut menzahirkan penghargaan mereka kepada kerajaan atas usaha dan sokongan dalam mencari penyelesaian yang seimbang tentang masalah yang dihadapi oleh pengguna dan industri berikutan cabaran yang wujud dalam proses rantaian bekalan makanan di seluruh dunia.

“MAFS akan terus komited mengadakan libat urus bersama pemain industri bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan bagi menjamin bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya.

Isu bekalan telur ayam dilihat masih lagi tiada kesudahan sehingga memaksa kerajaan mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari mulai 15 Disember lalu. – Malaysiapost

Komen