Jangan ‘double standard’, bonus pekerja swasta juga wajar dapat pelepasan cukai – MTUC

Jangan ‘double standard’, bonus pekerja swasta juga wajar dapat pelepasan cukai – MTUC

KERAJAAN sepatutnya memperluaskan pelepasan cukai bagi ‘bonus’ pekerja swasta sebagai jaminan tidak berlakunya ‘double standard, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor, berkata langkah itu bagi menjamin tidak wujud situasi dwi-standard dalam pemberian pelepasan sama antara kepada kakitangan awam atau swasta.

Katanya, apa diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu langkah wajar dalam memahami kepayahan dihadapi pekerja, namun ia perlu diperluaskan termasuk sektor swasta.

“MTUC melihat perkara ini (memperluas pelepasan cukai untuk bantuan khas kepada pekerja sektor swasta) sebagai satu langkah kecil daripada kerajaan, namun memberi kesan besar kepada pekerja.

“Dengan ini, tiada lagi soal (layanan) ‘double standard’ kerajaan antara penjawat awam dan swasta,” katanya dipetik Berita Harian.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bantuan khas kewangan kepada semua penjawat awam di seluruh negara akan dikecualikan cukai.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, pelepasan cukai itu membolehkan pekerja membelanjakan wang untuk merancakkan ekonomi negara.

“Bonus adalah penghargaan majikan kepada pekerja dan ia amat dinantikan setiap tahun oleh pekerja yang berdepan kepayahan yang berkhidmat di pelbagai sektor dan industri dalam negara

“Jadi adalah wajar bagi kerajaan memberi pelepasan cukai untuk mengiktiraf sumbangan pekerja ini,” katanya.

Pada Disember lalu, kerajaan mengumumkan bantuan khas kewangan RM700 kepada penjawat awam pada 2023. – Malaysiapost

Komen