Kukuhkan persefahaman, kesepaduan demi Malaysia tercinta – TPM

Kukuhkan persefahaman, kesepaduan demi Malaysia tercinta – TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat negara ini, khususnya kepada mereka yang meraikannya esok.

Dalam ucapan sempena perayaan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengingatkan rakyat untuk mengukuhkan persefahaman dan kesepaduan demi Malaysia yang tercinta.

“Sempena tahun arnab yang membawa simbol kepada keamanan dan keharmonian, saya menyeru untuk kita mengeratkan perpaduan dan jangan leka terhadap ancaman Covid-19.

“Jaga kesihatan di musim perayaan ini demi keluarga dan negara tercinta. Selamat tahun baharu. Gong Xi Fa Cai,” katanya dalam video berdurasi 1 minit 25 saat yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa keharmonian kaum serta keamanan yang dikecapi harus dipertahankan untuk kestabilan dan kemakmuran negara.

Dalam catatan di Facebook itu juga, beliau berharap sambutan Tahun Baharu Cina disemarakkan dengan semangat perpaduan dan hubungan silaturahim antara rakyat demi kesejahteraan negara.

“Mudah-mudahan kita dalam dakapan kasih sayang di bawah lindungan dan rahmat-Nya,” tulisnya. – Malaysiapost

Komen