Mansuh AP telur ayam bantu turun harga, jamin bekalan – Mydin

Mansuh AP telur ayam bantu turun harga, jamin bekalan – Mydin

KERAJAAN digesa memansuhkan Permit Kelulusan (AP) telur ayam yang dilihat mampu mengurangkan harga barangan itu sehingga 10 peratus, selain menjamin bekalan.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata langkah itu mampu mengurangkan harga telur ayam sehingga 37 sen sebiji bagi telur gred C berbanding harga semasa 41 sen.

Beliau berkata, pengimportan telur ayam dipelopori beberapa pihak, sekali gus memberi peluang kepada pihak berkenaan memanipulasi harga.

“Sebelum ini AP untuk ayam sudah ditarik, kalau bekalan untuk tempatan tidak mencukupi kita boleh import ayam. Sama seperti kobis, ia juga tidak mempunyai AP, saya rasa kalau perkara sama dilakukan pada telur ayam lebih ramai yang boleh masuk (import telur), ia bukan sahaja membuatkan bekalan telur ayam di negara ini mencukupi bahkan harganya dapat diturunkan.

“Isunya mudah, jika dulu kit ujian Covid-19 dijual dengan harga yang tinggi dan hanya boleh didapati di farmasi, tetapi bila kerajaan bagi dijual (dengan pelbagai pilihan dan jenama) di pasar raya kita dapat turunkan harganya.

“Itu sebab saya kata mansuhkan AP, ia dapat menyelesaikan masalah ini. Kalau pasar raya ini dapat mengambil bekalan telur secara terus kita dapat kurangkan harga sehingga 10 peratus,” katanya menurut laporan BH.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui secara khusus jumlah pengimportan telur di negara ini, namun menyifatkan bekalan bahan mentah itu masih belum pulih.

“Sehingga kini kita masih menghadapi isu kekurangan telur ayam. Bekalan telur ada, tetapi jenis Omega. Disebabkan itu golongan B40 mahupun M40 tidak mempunyai pilihan selain membeli telur jenis ini. Harganya pula lebih mahal, tapi itu sahaja pilihan yang ada,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dilaporkan mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menjelaskan mengenai jumlah sebenar eksport telur ayam berikutan bekalan domestik masih tidak pulih.

Beliau dilaporkan berkata penjelasan mengenai perkara itu sangat diperlukan kerana rakyat hairan mengapa bekalan telur eksport tidak bermasalah sedangkan bagi permintaan domestik, ia sering mengalami gangguan.

Katanya, KPDN juga perlu menjelaskan jumlah keseluruhan pengeluaran telur bagi lima syarikat pengeluar telur terbesar tempatan supaya penilaian dapat dibuat. – Malaysiapost

Komen