Penguat kuasa JKN Pahang mula guna kamera badan

Penguat kuasa JKN Pahang mula guna kamera badan

ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mula menggunakan teknologi kamera badan bermula semalam.

Penggunaan kamera badan resolusi dan sensitiviti tinggi itu adalah bagi pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi pemantauan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Pengarah JKN Pahang, Nor Azimi Yunus, berkata dalam operasi dijalankan pasukan itu semalam, sebanyak 19 kompaun dikeluarkan kepada individu merokok di kedai makan sekitar daerah Kuantan.

“Teknologi ini digunakan pada Disember lalu di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Ini bermakna Pahang menjadi negeri ketiga menggunakan pendekatan sama bagi membantu pasukan penguat kuasa kita melakukan tugas dengan lebih profesional dan selamat,” katanya.

Nor Azimi turut memaklumkan setakat semalam, sebanyak 19 kompaun membabitkan kesalahan merokok di tempat larangan dikeluarkan pasukan penguatkuasaan JKN Pahang.

Terdahulu, penggunaan kamera badan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan diumumkan Menterinya, Dr Zaliha Mustafa ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu pada 12 Disember lalu.

Zaliha berkata, penggunaan teknologi berkenaan adalah bagi menjamin ketelusan penugasan dan kebajikan anggota penguat kuasa.

Selain itu, pengenalan kamera badan dalam operasi penguatkuasaan juga dapat memelihara integriti selain meningkatkan imej kementerian berkenaan. – Malaysiapost

Komen