Rancangan 5 tahun bina kekuatan PKR di Kelantan, Terengganu – Rafizi

Rancangan 5 tahun bina kekuatan PKR di Kelantan, Terengganu – Rafizi

PKR akan melaksanakan rancangan lima tahun bagi membina kekuatan parti itu di Kelantan dan Terengganu supaya pengundi di kedua-dua negeri dapat menerima mereka.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli, berkata pendekatan itu adalah perancangan jangka panjang sebelum berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurutnya, rancangan lima tahun itu dijangka dilancarkan akhir Februari depan sebelum dimulakan pada bulan berikutnya.

“Menerusi rancangan lima tahun sehingga 2028 itu, ia akan memberi penekanan kepada kemahiran keanggotan PKR di Kelantan dan Terengganu, kualiti dan kehadiran anggota membabitkan masyarakat.

“Pada masa sama, ia juga bagi membina keyakinan rakyat di dua negeri berkenaan supaya melihat kelebihan pada anggota PKR, berbanding situasi sekarang mereka tidak yakin dengan parti kita,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pilihanraya Negeri Kelantan hari ini.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, pimpinan PKR di peringkat Pusat akan turun padang bagi membantu pimpinan negeri supaya usaha yang dilaksanakan itu berjaya.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berharap semua anggota PKR di negeri berkenaan mengambil peluang itu bagi memastikan PKR diterima masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Rafizi turut memaklumkan PKR akan melancarkan koperasi PKR bulan depan.

“PKR mempunyai seramai 1.2 juta anggota dan kita sasarkan 20 hingga 30 peratus daripada jumlah keahlian itu menyertai koperasi terbabit,” katanya. – Malaysiapost

Komen