‘Sepatutnya orang atas yang buat aduan, itu baru berani’- Puad cabar KJ

‘Sepatutnya orang atas yang buat aduan, itu baru berani’- Puad cabar KJ

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi seakan memberi cabaran kepada Khairy Jamaluddin untuk membuat sendiri aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)berhubung usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti itu.

Beliau turut membidas tindakan Khairy memuji dua ahli Umno yang membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi, semalam.

Menurut Mohd Puad, beliau percaya kemungkinan dua ahli Umno itu dipergunakan oleh pihak tertentu untuk berbuat demikian.

“KJ (Khairy) puji dua ahli Umno yang buat aduan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai berani dan waras. Ia berkaitan usul tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua.

“Berani atau dipergunakan? Sepatutnya orang ataslah yang buat aduan. Itu baru berani namanya. Jangan guna orang bawah apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri. Itu waras ke?,”soalnya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Khairy memuji dua ahli Umno yang membuat laporan kepada RoS berhubung usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti itu.

Menurut bekas Ketua Pemuda Umno itu, ia menunjukkan masih ada ahli parti berkenaan yang berani dan waras.

“Well done guys (syabas kawan-kawan). Saya yakin dengan kredibiliti RoS untuk buat semakan terhadap usul Rembau di PAU (Perhimpunan Agung Umno),” tulis bekas Menteri Kesihatan itu di Instagram.

Menurut Khairy, beliau yakin RoS akan mengambil tindakan sewajarnya susulan aduan yang dikemukakan.

Terdahulu, dua ahli Umno membuat laporan kepada RoS bagi meminta satu siasatan kemungkinan berlakunya perlanggaran perlembagaan parti berhubung usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi.

Ahli Umno Terengganu Aizat Fikri Nasir dan ahli Umno Negeri Sembilan Fiqri Firdaus mendakwa usul yang dibentangkan dalam PAU baru-baru ini melanggar Artikel 10 perlembagaan parti itu. – Malaysiapost

Komen