Suspek kes bunuh warga emas direman tujuh hari

Suspek kes bunuh warga emas direman tujuh hari

SEORANG lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang wanita warga emas berusia 91 tahun yang disamun dalam kejadian pecah rumah di Kampung Pulai Darat, Jasin, awal pagi semalam.

Perintah tahanan reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Zuraidah Abu Bakar terhadap penggur berusia 20 tahun itu, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh diiringi anggota polis pada jam 9.35 pagi.

Semalam, media melaporkan wanita warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kilometer 16, Kampung Pulai Darat, Merlimau, Jasin dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam

Kematian mangsa, Misah Md Amin, 91 tahun yang tinggal seorang diri di rumah itu disedari seorang lelaki warga Indonesia yang menyewa berhampiran rumah warga emas berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, suspek diberkas berhampiran kawasan kejadian pada jam 8 pagi semalam.

Suspek turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk berkaitan samun. – Malaysiapost

Komen