Tubuh pasukan khas siasat aduan perkhidmatan TNG – Salahuddin

Tubuh pasukan khas siasat aduan perkhidmatan TNG – Salahuddin

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menubuhkan pasukan khas bagi meneliti aduan rakyat berhubung perkhidmatan Touch ‘n Go (TNG).

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pasukan berkenaan yang akan diketuai Ketua setiausaha KPDN itu dipertanggungjawab untuk meneliti semua aduan diterima.

Katanya, pasukan itu ditubuhkan susulan banyak aduan diterima daripada pengguna mengenai perkhidmatan TNG terutama sepanjang minggu sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, antara aduan yang diterima termasuk isu berkaitan kad prabayar Visa TNG, kesukaran mendapat kad TNG, masalah Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) selain talian hotline yang tidak dijawab.

“Saya telah meminta pihak bertanggungjawab untuk membuat kajian dan meminta pihak pengurusan TNG menjawab beberapa aduan dan rungutan orang ramai sehinggakan ada aduan yang sampai kepada saya sendiri.

“Saya akan minta laporan diberikan kepada kementerian bagi setiap kes, sebagai contoh semalam, kita dapat secara terperinci tentang satu masalah dan syarikat memberikan jawapan dengan segera, sekali gus isu timbul dapat dipantau,” katanya hari ini.

Beliau berkata, tindakan bakal dikenakan terhadap syarikat pengendali jika tidak menunaikan tanggungjawab menyelesaikan isu berbangkit berhubung perkhidmatan berkenaan.

“Saya akan teliti dan pastikan mereka (syarikat pengendali) menunaikan tanggungjawab, (tetapi) sekiranya mereka tidak mengambil perhatian, maka saya akan membincangkan tindakan yang akan diambil,” katanya. – Malaysiapost

Komen