‘Umno bukan hak pemimpin saja, ahli berhak minta penjelasan RoS’ – KJ bidas Puad

‘Umno bukan hak pemimpin saja, ahli berhak minta penjelasan RoS’ – KJ bidas Puad

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membidas Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mempersoalkan tindakannya memuji dua ahli parti yang membuat aduan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022).

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu, menegaskan Umno adalah milik ahli parti dan mana-mana ahlinya boleh mendapatkan penjelasan dan aduan ROS, lapor NST.

“Adakah Umno hanya milik pemimpin tertinggi? Umno milik semua ahlinya. Mana-mana ahli boleh meminta penjelasan RoS.

“Kita mesti menghormati mana-mana ahli Umno yang mahukan penjelasan memandangkan usul itu sangat kontroversi dengan ramai pakar undang-undang mempersoalkan kesahihannya.

“Saya menyokong mana-mana ahli Umno yang ingin menjelaskan kesahihan usul Rembau,” katanya.

Terdahulu, Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno menempelak pujian diberikan Khairy kepada dua ahli Umno yang merujuk RoS berkait isu usul tambahan.

Menerusi menerusi hantaran di Facebook, Mohd Puad mempersoalkan sama ada tindakan terbabit satu keberanian atau kedua-dua ahli Umno itu hanya dipergunakan.

Semalam, dua ahli Umno memfailkan aduan kepada RoS berhubung usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti kekal tidak dicabar dalam pemilihan parti. – Malaysiapost

Komen