‘Akhirnya Hadi mengaku’ – Lokman Adam

‘Akhirnya Hadi mengaku’ – Lokman Adam

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara tidak sedar mengakui bahawa PAS telah merasuah pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau berkata, ia susulan kenyataan Abdul Hadi yang menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah.

“Hadi secara tidak sedar telah mengakui bahawa PAS telah merasuah pengundi dalam pilihan raya umum lepas.

“Malah, Hadi kata ia tidak salah daripada sudut undang-undang kerana sedekah itu disalurkan bukan oleh YB, calon atau wakil calon tetapi disalurkan oleh orang awam,” katanya menerusi rakaman video ‘live’ di Facebooknya, semalam.

Lokman berkata, kenyataan Abdul Hadi itu tidak betul kerana mengikut Akta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semua pemberian tidak kira wang derma, pinjaman ataupun hadiah termasuk menerusi pihak lain dikira sebagai rasuah.

“Kalau tidak bagi ‘direct’ pada pengundi (melalui) wakil pun tidak boleh. Malah, bagi (wang) untuk mereka mengundi atau supaya mereka tidak mengundi pun tidak boleh.

“Sebagi tuan guru sepatutnya Hadi ajar orang benda betul bukan tak betul, apa lagi mendustakan yang benar dan membenarkan yang dusta,” katanya.

Dalam pada itu, Lokman berkata, beliau berharap SPRM dapat menjalankan siasatan berhubung isu itu dengan segera.

“Malah kesalahan ini adalah kesalahan yang boleh tangkap. Jadi, kita harap jangan lama sangat (SPRM siasat) dan harap SPRM berlaku adil.

“Selain itu, sekiranya didapati bersalah kerusi mereka perlu dikosongkan dan statusnya sebagai wakil rakyat akan terlucut,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Katanya, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah, terpulang kepada dia,” kata Abdul Hadi. – Malaysiapost

Komen