Aliran trafik lebuh raya utama perlahan

Aliran trafik lebuh raya utama perlahan

ALIRAN trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bergerak perlahan sebelum Plaza Tol Gombak arah Timur berikutan pertambahan kenderaan sempena cuti panjang perayaan Tahun Baru Cina.

Berdasarkan kemas kini laman Facebook Lebuhraya Pantai Timur setakat jam 2 petang tadi, pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati berikutan terdapat kemalangan di Kilometer (km) 56.4 arah Timur berdekatan Bukit Tinggi.

Katanya, susulan kemalangan itu lorong kanan terhalang mengakibatkan trafik sesak sepanjang 4.6 km sehingga lokasi kemalangan.

Sementara itu, keadaan trafik di Lebuhraya Pantai Timur 1 lancar di kedua-dua arah.

Pada perkembangan sama, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kemas kini di Facebook, memaklumkan trafik perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di Putra Mahkota ke Nilai; Seremban ke Port Dickson; Senawang ke Port Dickson; Senawang ke Pedas Linggi; dan Hentian Sebelag Pedas Linggi ke Simpang Ampat.

Aliran trafik juga dilaporkan perlahan dari arah Utara di Sedenak menghala ke Simpang Renggam dan Senai ke Kulai.

Dalam masa sama, keadaan trafik perlahan di Rawang Selatan menghala ke Hentian sebelah Rawang; Slim River ke Sungkai Tapah ke Gua Tempurung.

Keadaan trafik turut bergerak perlahan sebelum memasuki Plaza Tol Sungai Dua dan Sungai Petani Selatan ke Sungai Petani Utara.

PLUS menjangkakan dua juta kenderaan bakal menggunakan semua rangkaian lebuh rayanya bermula Jumaat sehingga Selasa iaitu hari puncak sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita baik iaitu pengecualian bayaran tol pada 20, 21 Januari kepada pengguna lebuh raya seluruh negara membabitkan semua kelas kenderaan sempena perayaan tersebut. – Malaysiapost

Komen