Anwar, Wan Azizah hadir Rumah Terbuka MCA selepas 25 tahun

Anwar, Wan Azizah hadir Rumah Terbuka MCA selepas 25 tahun

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpru hari ini.

Difahamkan, kehadiran Anwar itu adalah buat pertama kalinya selepas hampir 25 tahun beliau meninggal Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Kali terakhir Perdana Menteri menghadiri majlis berkenaan adalah ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, sebelum dipecat daripada jawatan itu pada 1998.

Kehadiran Anwar ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, lapor Berita Harian.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Anwar berkata, beliau gembira dapat bertemu rakan lama pada majlis berkenaan dan menyifatkan persahabatan beliau dengan MCA, parti komponen BN tidak pernah putus walaupun ketika beliau dalam pembangkang sebelum ini.

“MCA itu dalam rangka persahabatan lama tapi yang bagusnya, kita tidak pernah putus persahabatan walaupun perbedaan parti dan pandangan dari semasa ke semasa tapi sekarang balik semula (bersama).

“Dulu kita berbeda pandangan dan haluan. Saya dipecat daripada Umno dan saya terpaksa lawan. Masa dalam penjara, tak sempat datang dan sekarang, ada ruang dan nampak bukan saja kemesraan tapi nampak satu haluan dalam banyak pandangan serta isu.

“Saya juga banyak berbincang dengan Presiden MCA dan nampak kita tumpu pada pembangunan serta ekonomi Malaysia,” katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada 1998.

Beliau kemudian dipenjarakan atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa, yang disifatkannya sebagai percubaan bermotifkan politik untuk menamatkan kerjayanya.

Pada majlis itu, Anwar dan tetamu yang hadir turut menggaul yee sang sebagai simbol kepada kemewahan dan kemakmuran bagi masyarakat Cina.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian tradisional kaum berkenaan. – Malaysiapost

Komen