Cadangan boikot restoran tak bantu turunkan harga barang – Ismail Sabri

Cadangan boikot restoran tak bantu turunkan harga barang – Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan seruan agar orang ramai tidak mengunjungi restoran dan kedai makan yang menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi, adalah tidak bertanggungjawab.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan sepatutnya berusaha untuk membantu pemilik restoran dan kedai makan mendapatkan bahan mentah dengan harga yang lebih murah.

“Saya lihat laporan media menyatakan kalau harga makanan meningkat, boikot kedai makan. Kalau harga bahan mentah meningkat, ayam dan sayur mahal, ikan mahal, pastinya peniaga restoran perlu naikkan harga.

“Kalau kita boikot peniaga, ia tak membantu mereka.

“Kerajaan (sebaliknya) perlu pastikan harga bahan mentah dapat diturunkan untuk bantu peniaga jual makanan dengan lebih murah dan rakyat dapat harga makanan yang lebih murah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika di di rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA, hari ini.

Kenyataan beliau tersebut mengulas cadangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang dijual pada harga tidak berpatutan.

Seruan Rafizi tersebut sebagaimemberi isyarat kepada peniaga dan pembekal tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

Kenyataan Rafizi turut dikritik pelbagai pihak, termasuk orang ramai yang menyifatkan penyelesaian ditawarkan menteri itu tidak wajar dan terlalu mudah.

Rafizi bagaimanapun mempertahankan saranannya dengan berkata, keanjalan dalam permintaan perlu diwujudkan sebagai mekanisme permulaan bagi kawalan harga supaya kuasa pengguna dapat dikembalikan.

Katanya, setakat ini harga barang sudah menunjukkan perununan kecuali harga makanan di restoran dan kedai makan. – Malaysiapost

Komen