Henti fahaman ‘nak kaya masuk politik’, kata PM

Henti fahaman ‘nak kaya masuk politik’, kata PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghentikan fahaman dan budaya ‘nak kaya masuk politik’.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri yang menyifatkkan anggapan itu perlu dibuang jauh kerana salah satu sumber kekayaan adalah daripada bidang perniagaan.

“Kalau nak kaya jadi ahli perniagaan, kalau nak jadi menteri dan cari wang, kena keluar (letak jawatan).

“Prinsip ini jelas, tidak ada salah mahu jadi ahli perniagaan. Kita bagi galakan untuk orang berniaga dapat untung banyak, kena cukai sikit. Kalau semua susah macam mana nak bayar cukai,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Justeru Anwar menegaskan, Kerajaan Perpaduan menganjurkan prinsip Malaysia Madani yang merencanakan landasan tatakelola yang baik.

“Kalau pimpin dengan cara lama semua orang kaya (sebab politik), negara akan rosak. Saya ucapkan terima kasih sebab pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), GPS dan GRS.

“Dalam prinsip ini, saya tengok konsisten dalam mesyuarat, mereka berikan komitmen. Saya bernasib baik rakan Jemaah Menteri dan parti beri kerjasama,” katanya. – Malaysiapost

Komen