Hujan berterusan sehingga Rabu ini

Hujan berterusan sehingga Rabu ini

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan luruan monsun di rantau negara yang dijangka berlaku sehingga 26 Januari ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah, berkata sehubungan itu MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan di kawasan berkenaan berkuat kuasa sehingga 25 Januari.

“Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang juga dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung, tengah Sarawak serta pedalaman Sabah pada sebelah petang dan malam dalam tempoh ramalan.

“Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 25 Januari,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau berkata, sehubungan itu orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – Malaysiapost

Komen